Bersama Abdul Rahman Sulaiman rahmansulaiman@yahoo.com
Kerajaan garis pelbagai dasar pastikan bekalan mencukupi dengan harga stabil
MANUSIA perlu makan untuk hidup. Sebab itu apabila muncul laporan bahawa dunia akan dilanda krisis makanan yang meruncing, semua orang gelisah dan bimbang. Makanan ruji membabitkan 'survival' setiap individu yang bernyawa.
Apabila masalah ini disentuh sepintas lalu dalam ruangan ini minggu lalu, apa yang cuba penulis timbulkan ialah kesedaran di kalangan orang ramai supaya sentiasa memikirkan apa akan berlaku jika senario terburuk menimpa negara, apa lagi kekurangan atau ketiadaan beras yang menjadi makanan utama.
Kebimbangan ini timbul berikutan kejadian rusuhan dan keganasan di beberapa negara seperti Haiti, Mesir, Cameroon, Ivory Coast, Senegal, Burkina Faso, Habshah, Madagascar dan Filipina, akibat kekurangan bekalan atau kenaikan harga makanan seperti beras, gandum, jagung dan minyak masak.
Sedikit pun tidak terlintas dalam fikiran bahawa masalah itu akan dirasai tempiasnya di negara ini dalam masa terdekat, walaupun diakui bahawa sebagai sebuah negara perdagangan yang mengamalkan ekonomi terbuka, Malaysia tidak terkecuali daripada fenomena global. Bagaimanapun, awal minggu ini beberapa akhbar utama melaporkan kenaikan mendadak harga beras antara 10 hingga 20 peratus di seluruh negara, terutama di kawasan bandar. Kenaikan itu dipercayai ada hubung kait dengan kenaikan harga bahan makanan pada peringkat global. Perlu diingat bahawa Malaysia mengimport kira-kira 700,000 tan beras setahun dari Thailand dan Vietnam untuk menampung keperluan rakyat berikutan bekalan beras tempatan cuma memenuhi kira-kira 73 peratus.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed, menjelaskan bahawa kenaikan yang dilaporkan itu adalah bagi beras import yang harganya tidak tertakluk di bawah kawalan kerajaan.
Mustapa berkata, pasukan penguat kuasa kementeriannya sentiasa memantau kedudukan dan bekalan beras seluruh negara dan mendapati bahawa peniaga masih menjual beras jenis super tempatan pada harga kawalan iaitu RM1.65 hingga RM1.80 sekilogram mengikut zon. Cuma satu kes pelanggaran di Bukit Mertajam apabila seorang peruncit didapati menjual beras Super Tempatan 15 peratus hancur pada harga RM1.69 sekilogram berbanding RM1.65 sekilogram seperti yang ditetapkan. Tindakan undang-undang diambil dan peruncit itu akan dihadapkan ke mahkamah di bawah Perintah Beras (Kawalan Gred dan Harga) 1974.
Tindakan penguatkuasaan ini sebenarnya hanya sebahagian daripada langkah proaktif yang diambil kerajaan untuk menangani masalah yang dihadapi dan mengelakkan krisis seperti yang menimpa sesetengah negara.
Seperti yang dilaporkan, Kabinet dalam mesyuaratnya minggu depan dijangka menghalusi konsep dan dasar Keselamatan Makanan Negara untuk dilaksanakan. Dasar itu yang dirumuskan oleh jawatankuasa Kabinet mengenai inflasi, dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, bertujuan menjamin rakyat sentiasa mendapat bekalan makanan mencukupi pada harga munasabah. Jika perlu, subsidi juga akan diberikan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menganggotai jawatankuasa itu menegaskan semalam bahawa kenaikan harga barang dan makanan di Malaysia bukan kerana kegagalan kerajaan, tetapi akibat fenomena global. Malaysia, katanya bukan satu-satunya negara yang menghadapi masalah itu. Dalam tempoh beberapa hari akan datang, kerajaan akan membuat beberapa pengumuman berhubung langkah yang akan diambil untuk mengurangkan beban rakyat.
Dalam hubungan ini, rakyat khususnya peniaga dan pengguna boleh menyumbang meredakan keadaan dengan tidak menyorok barang makanan dan membuat pembelian secara panik. Satu-satunya hakikat yang harus disedari ialah sejak beberapa tahun kebelakangan ini, harga makanan seperti beras, gandum, jagung dan lain-lain meningkat sekali atau dua kali ganda, sebahagian besar daripada kenaikan itu berlaku dalam tempoh beberapa bulan lalu. Pakar Ekonomi terkemuka Amerika Syarikat, Paul Krugman, meramalkan bahawa dunia sedang menuju ke arah krisis makanan. Krisis itu tidak akan reda dalam tempoh yang singkat. Beliau memberikan beberapa sebab kenapa ini berlaku. Antaranya; l Pertambahan golongan kaya di negara membangun seperti China dan India yang secara langsung merubah tabiat pemakanan mereka.
Oleh kerana kira-kira 700 kalori makanan binatang diperlukan untuk menghasilkan 100 kalori daging, dengan sendirinya perubahan tabiat pemakanan ini meningkatkan keseluruhan permintaan untuk bijiran. l Harga minyak yang tinggi. Oleh kerana pertanian moden berintensifkan tenaga, banyak tenaga diperlukan untuk menghasilkan baja, menghidupkan traktor dan mengangkut hasil pertanian kepada pengguna. l Cuaca buruk di sesetengah negara pengeluar makanan seperti Australia.
Negara pengeksport gandum kedua terbesar dunia itu mengalami kemarau berpanjangan yang menjejaskan tanaman. l Penggunaan bahan makanan untuk pengeluaran ethanol dan biodiesel. Dianggarkan, kuantiti bijiran yang diperlukan untuk menghasilkan biofuel bagi mengisi penuh tangki sebuah kenderaan SUV mampu menampung keperluan makanan seorang bagi tempoh setahun. Mungkin manusia perlu memikirkan semula kewajaran menggunakan bahan makanan untuk tujuan bukan makanan.
Apa pun, seperti juga minyak, era di mana makanan boleh didapati dengan murah dan sebanyak mungkin sudah berlalu.
Datuk Abdul Rahman Sulaiman adalah Pengarah Komunikasi di Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri
The Garlic is Planted!
-
Another task is done. Next year's garlic crop is now planted. Although
garlic can be planted in the spring as soon as the ground can be worked,
fall [&he...
1 day ago
0 comments:
Post a Comment